Koperasi

Memastikan gerakan koperasi berkembang maju

Oleh M. Izham Hashim
Gambar oleh Victor Lo

 

Pengusaha koperasi perlu menguruskan perniagaan mereka dengan lebih profesional dan bertanggungjawab untuk lebih berjaya dan menunjukkan komitmen tinggi kepada usaha-usaha yang dilakukan. Inilah mesej Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Noor di karnival mini Jawatankuasa Perundingan Koperasi peringkat Parlimen (MPKP) di Tuaran, Ahad. Teks ucapannya disampaikan oleh Adun Kiulu, Datuk Louis Rampas.

 

Katanya, koperasi adalah enjin yang memberi kuasa kepada pertumbuhan sosio-ekonomi kerana ia menawarkan satu platform strategik untuk pelbagai lapisan masyarakat melakukan perkara bersama, mengukuhkan kerjasama, meneroka inovasi dan menggerakan sumber untuk mencapai perniagaan dan aktiviti ekonomi yang memberi manfaat.

Dalam usaha menyokong pembangunan perusahaan koperasi tempatan, kerajaan dan Suruhanjaya Persatuan Koperasi Malaysia (SKM) telah merangka pelbagai strategi dan dasar untuk membimbing serta mempromosi bidang ini dengan menyediakan sokongan perundingan, latihan dan kewangan supaya koperasi ini mencapai kejayaan.

"Walaupun SKM boleh menawarkan nasihat dan memantau perniagaan koperasi, akhirnya terpulanglah kepada ahli-ahli Lembaga Koperasi itu sendiri untuk menentukan arah pergerakannya sebagai sebuah badan autonomi sosio-ekonomi." Hajiji menegaskan, perniagaan koperasi mesti memenuhi semua keperluan undang-undang yang ditetapkan dalam Akta Koperasi 1993, Undang-undang Peraturan Koperasi 2010, Undang-Undang Kecil Koperasi serta garis panduan atau pengumuman yang dikeluarkan oleh SKM.

Katanya, Dasar Koperasi Negara mempunyai matlamat untuk mensasarkan pertumbuhan sebanyak lima peratus daripada KDNK pada 2013 dan 10 peratus menjelang 2020.

"Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlu sama-sama bekerja secara kolektif untuk membantu pergerakan itu berkembang dan seterusnya memberikan hasil pulangan kepada ahli koperasi," katanya.

Hajiji berkata, kerajaan mengenal pasti lima bidang ekonomi utama bagi sektor koperasi. Lima bidang impak tinggi itu ialah pertanian, kewangan, perniagaan borong serta runcit, pelancongan dan perusahaan penjagaan kesihatan.

Kesemua lima bidang berimpak tinggi itu dipromosikan di pelbagai gerai-gerai yang dikendalikan oleh koperasi milik perniagaan dari daerah berbeza. Acara itu menjana minat daripada masyarakat tempatan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program koperasi.

Turut hadir di majlis itu ialah Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Sabah, Umar Sarim dan Ketua Polis Daerah Tuaran, DSP Zaharuddin Rasip. - Insight Sabah

Diterbitkan pada 20-12-2012 10:00 pm

English 中文 Kadazan
Your Comment

Your email address already exist, please sign in to post your comments

Fields marked with (*) are REQUIRED
CAPTCHA ImageReload Image